Spiga

Siapa Dia Shah Rukh Khan Sebenarnya?




KECOH apabila bintang Bollywood Shah Rukh Khan atau juga terkenal dengan status SRK dikurnia sebagai penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob ke-70 pada Oktober lalu.

Kecoh kerana penganugerahan tersebut tidak pernah diberi kepada selebriti luar, sehinggalah Kerajaan Negeri Melaka dengan yakin menongkah arus tersebut.

Alasan yang diberi selepas diasak dan dipertikai oleh ramai rakyat Malaysia amat mudah. Kata mereka, DMSM dianugerahkan kepada SRK bagi mengenang jasa beliau dalam bidang seni dan perfileman di peringkat antarabangsa, termasuk di Malaysia.

Dan ia menambah amarah di kalangan karyawan tempatan yang sempat memprotes penganugerahan ini. Kata banyak orang, ia sungguh tidak masuk akal. Sementelah ramai yang mempersenda. Kata nakal yang singgah antaranya SRK tidak tahu di mana letaknya Melaka.




Juga sempat di medium maya, tangan-tangan nakal menyenaraikan nama-nama artis yang layak menerima anugerah ini atas sumbangan menonjolkan budaya atau Malaysia

Termasuk pelakon seksi, Jessica Alba yang pernah membawa karakter seorang wanita Iban Sarawak dalam filem tidak terkenal, The Sleeping Dictionary yang difilemkan di negeri tersebut sekitar akhir 90-an.

Ironinya, biar terus dipertikaikan, SRK tetap mendapat gelaran tersebut. Dan tanggal 6 Disember lalu, selepas beberapa kali rangka lawatannya ke Melaka sempena menerima darjah itu tertangguh, akhirnya ia selamat berada di tangan SRK. Sekali gus merasmikan penerimaan anugerah Datuk Shah Rukh Khan tersebut.

“Saya berharap untuk membina sebuah studio yang mempunyai kelengkapan untuk pembikinan filem di negeri ini.

“Ia juga untuk membantu membangunkan industri perfileman tempatan,” begitu antara iltizam yang diikrar SRK pada hari penuh bersejarah tersebut.




Antara isi janjinya, dia yang hanya berada di Melaka kurang dari 8 jam itu dan segak berbaju melayu hitam turut menyatakan akan kembali ke negeri tersebut untuk menjalani penggambaran penuh di Melaka untuk filem terbarunya, Happy New Year sekitar Ogos atau September tahun hadapan.

Dan dia yang sentiasa menguntum senyum, memberi lambaian ‘bintang’ kepada ribuan peminat setianya yang membanjiri lokasi-lokasi yang disinggahinya ini, begitu teruja mendapat gelaran tersebut.

Tidak kira berada di benua mana, kata pelakon lelaki berusia 43 tahun ini, dia akan selalu berbangga dengan anugerah yang diterima daripada Melaka ini.

Siapa, kenapa SRK?

Dilahirkan di New Delhi, India, SRK dilahirkan dalam keluarga Muslim. Bapanya bernama Taj Mohammed Khan yang dikenali sebagai pejuang keamanan dari Peshawar, Pakistan.




bunya, Lateef Fatima pula merupakan anak angkat kepada Mejar Jeneral Shah Nawaz Khan daripada pasukan Janjua Rajput yang berkhidmat untuk pasukan Tentera India.

Sejarah hidup SRK bermula sebaik dia mula mengenal dunia. Seorang yang begitu mementingkan pendidikan, adik kepada Shehnaz ini membina reputasi dirinya dengan mendapat pendidikan di St. Columba dan begitu sukses di dalam bidang akademik, ko kurikulum serta pementasan. Kerana kecemerlangan itu, SRK dianugerahkan sebagai penerima Sword of Honour, simbolik anugerah tertinggi bagi pelajar yang mempunyai reputasi baik.

Dia kemudian menyambung pelajaran di Hansraj College (1985-1988) dan lulus dengan Ijazah Kepujian dalam bidang Ekonomi sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Lanjutan (master) dalam bidang Komunikasi di Jamia Millia Islamia.

Biar sudah mula berjinak dalam bidang komersial pada tahun 1988 menerusi drama siri Fauji, tuah masih belum menyebelahi dia. Hanya selepas kedua ibu bapanya meninggal pada awal 90-an, barulah SRK mula menebarkan auranya di Mumbai pada tahun 1991.




Seperti lancar dan kemasnya perjalanan peribadinya, kerjaya suami kepada Gauri Khan dan bapa kepada dua cahaya mata Aryan Khan serta Suhana ini juga begitu.

Begitu sukses sebagai seorang pelakon, profil SRK juga diisi sebagai seorang hos berpengaruh selain merupakan seorang penerbit yang selalu menerbitkan karya-karya bermutu.

Menjadi fenomena lewat filem sulungnya, Deewana pada tahun 1992, kredibiliti pelakon ini terus terserlah dengan filem-filem pecah panggung seperti Dilwale Dulhaniya Le Jayenge (1995), Kuch Kuch Hota Hai (1998), Om Shanti Om (2007) serta Kabhi Khushi Kabhie Gham (2001) atau Mohabbatein.

Habuannya, tidak sampai 10 tahun, SRK telah memenangi sebanyak 13 kali anugerah pada anugerah tertinggi industri tersebut iaitu Filmfare Awards dengan tujuh daripadanya merupakan anugerah bagi Aktor Terbaik Bollywood.

Kata SRK mengenai kariernya sebagai pelakon: “Saya tidak menyangka mampu diminati sehingga hari ini. Kerana apa yang saya tahu, saya hanya ke lokasi penggambaran untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon.”




Tambahnya lagi, barangkali keikhlasan niat sebagai pelakon itu telah membantu dia mencapai sukses luar biasa. Malah dia sendiri kagum apabila filem dengan bahasa yang tidak pernah sama di seluruh dunia ini menjadi medium paling berkesan untuk menebarkan virus atau mesej sesebuah karya.

“Sebab itu saya suka membikin sebuah karya dengan penghabisannya gembira. Kerana hidup ini bukankah harus gembira?,” katanya yang turut menyifatkan karya yang baik adalah apabila jalan ceritanya mudah difahami selain khalayak tidak tertekan dengan penceritaan yang disampaikan.

Menegakkan Islam

Berkahwin dengan seorang penganut Hindu dan anak-anaknya mempraktikkan dua agama iaitu Islam serta Hindu, SRK sendiri hampir disangka sebagai bukan Islam.

Tetapi ringkas lelaki ini menafsirkan tentang pertembungan dua agama di bawah satu bumbung ini sebagai: “Saya amat mempercayai Islam dan Allah.

“Tapi dalam masa yang sama, saya harus menghormati kepercayaan isteri saya. Malah saya ialah seorang Islam sejati dan terus bersembahyang juga bertemu ‘Dia’ dalam apa juga keadaan.”

Justeru ketaatannya kepada Islam cuba dilampiaskan menerusi sebuah filem berjudul My Name Is Khan yang diarahkan oleh sutradara muda, Karan Johar.




Filem yang bakal menyaksikan dia berkolaborasi dengan aktres terkenal Kajol ini dibikin khusus untuk memperbetulkan persepsi masyarakat Barat terhadap Islam yang kini dipropagandakan sebagai sebuah agama yang kejam dan hitam.

Tegas SRK, Islam bukan sebuah agama yang penuh keganasan. “Jadi bagi saya konsep jihad dan peperangan mengikut Allah ada dijelaskan dalam al-Quran. Dan ini yang perlu dilihat dunia,” katanya serius.

Konklusinya, jika inagin menyuaipadankan gelaran yang diperoleh SRK dengan helaian kehidupannya, barangkali dia layak menerimanya - namun dalam konteks berlainan. Ia daripada konteks prolifik yang dibina lelaki ini.

Malah pada Februari lalu, masyarakat Barat sendiri mengiktiraf kredibilitinya apabila patung lilin dirinya ditempatkan di Muzium Madame Tussauds di Perancis.

Maka tidak hairan mengapa dia sampai dianugerahkan dengan gelaran Datuk. Ya, suka atau tidak, SRK kini memegang status Datuk Shah Rukh Khan.

0 comments: