Spiga

Ibadah Haji : Jemaah masuki Arafah


sejumlah jemaah haji mula memenuhi Jabal Nur yang menjadi tempat turun ayat pertama al-Quran di Mekah kelmarin.


MEKAH - Hampir tiga juta umat Islam termasuk 26,0000 dari Malaysia memulakan ibadah haji semalam dengan menuju ke Arafah bagi menunaikan wukuf yang dijadualkan esok sehingga terbenam matahari.

Semua jemaah haji perlu tiba selewat-lewatnya menjelang subuh sebelum bergerak ke Mina untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha esok dan menyempurnakan ibadah melontar.

"Kerajaan Arab Saudi meminta semua pihak mengenepikan politik. Ibadah haji tidak perlukan slogan kecuali kalimah suci," kata Menteri Hal Ehwal Islam, Saleh bin Abdul-Aziz Al al-Sheikh dalam akhbar tempatan semalam.

Dunia Islam kini di selubungi beberapa pertikaian termasuk isu nuklear di Iran, sengketa Sunah-Syiah di Iraq serta perbalahan Hamas-Fatah di Palestin.

Pihak berkuasa turut melakukan beberapa pengubahsuaian sejak beberapa tahun lalu untuk melancarkan aliran jemaah ke Masjidil Haram dan jambatan jamarah.

Musim haji paling berdarah ialah pada 1990 membabitkan kematian 1,426 jemaah, 251 pada 2004 dan 362 pada 2006.

Ibadah melontar juga semakin mudah berikutan pembinaan kompleks empat tingkat bagi memudahkan jemaah.

Kata kerajaan, rakyat negara itu dan negara Islam lain yang tidak mempunyai permit dilarang daripada memasuki Mekah bagi mengelakkan kesesakan.

Sehingga kini, sebanyak 1.75 juta visa diberikan kepada umat Islam asing manakala 500,000 permit diberi kepada rakyat negara itu.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi menyatakan pihaknya menempatkan 24 hospital lapangan yang mempunyai kapasiti 4,000 katil sebagai tambahan kepada 140 buah pusat kesihatan.

Lebih 11,000 kakitangan dengan 150 ambulans turut disediakan.

Selain 100,000 anggota keselamatan, beberapa unit helikopter Sikorsky S-92 yang dilengkapi peralatan canggih turut digunakan untuk mengawal Mekah daripada ancaman pergerakan militan. - Agensi

0 comments: