Spiga

Dua sejoli ditemui mati misteri dalam kereta


Ahli keluarga Weu Fong di Hospital Serdang semalam untuk menuntut mayat mangsa yang ditemui mati bersama seorang gadis di Balakong.


KAJANG - Dua mayat dipercayai pasangan kekasih ditemui mati dengan lelaki berkeadaan bogel manakala pasangannya hanya berseluar dalam sebuah kereta di Taman Impian Indah, Balakong di sini kelmarin.

Mangsa dikenal pasti sebagai, Wong Weu Fong, 28, dan bekerja sebagai juruteknik elektrik, sementara kekasihnya, gadis warga Indonesia berusia 13 tahun. Kematian mereka penuh misteri.

Jurucakap polis berkata, kedua-dua mangsa ditemui sudah mati dalam kereta jenis Audi A4 di dalam bengkel itu.

Mayat kedua-dua pasangan itu ditemui oleh pemilik bengkel tersebut ketika mahu memulakan perniagaannya pada pukul 1.30 petang.

"Mangsa lelaki ditemui dalam keadaan tidak berpakaian, manakala pasangannya hanya berseluar.

"Turut ditemui bersama-sama mereka di dalam kereta tersebut ialah dadah syabu dan peralatan menghisap dadah lain,'' katanya yang masih menyiasat punca sebenar kematian pasangan berkenaan.

Difahamkan, sebelum kejadian, Weu Fong telah meminjam kunci bengkel tersebut daripada pemiliknya yang juga merupakan kenalannya sejak beberapa hari lalu.

"Mayat mangsa dipercayai telah mati dua atau tiga hari lalu ketika bengkel tersebut ditutup. Orang awam yang melalui kawasan bengkel itu juga hairan apabila mereka terhidu bau busuk dari dalam bengkel itu,'' katanya."

Kata beliau, kematian pasangan tersebut buat masa ini dipercayai ada kaitan dengan pengambilan dadah berlebihan atau sesak nafas kerana terhidu karbon monoksida di dalam kereta.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut, tetapi polis masih menunggu hasil bedah siasat dari hospital untuk mengetahui punca sebenar kematian mereka.

0 comments: