Spiga

Cubaan samun treler gagal


GAGAL ... Beginilah keadaan treler membawa muatan sabun yang disamun terbalik ketika penjenayah terbabit cuba melarikan diri semasa dikejar polis berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, semalam. Gambar kecil suspek. - Ihsan CHINA PRESS

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Cubaan sekumpulan penjenayah menyamun sebuah treler penuh muatan bahan pembuatan sabun gagal apabila kenderaan itu terbabas sebelum terbalik ketika dikejar polis dekat tanah perkuburan Cina di Jalan Lapangan Terbang Lama di sini hari ini.

Kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada pukul 6.30 pagi, apabila pemandu treler dan kelindannya yang menghentikan perjalanan untuk ke tandas di Taman Sri Manja dekat sini didatangi lima lelaki bersenjatakan parang yang menaiki sebuah van.

Dua daripada lima penjenayah kemudiannya bertindak mengugut dua mangsa itu dengan parang sebelum melarikan treler terbabit.

Sejurus kejadian berkenaan, mangsa membuat laporan polis dan gerakan mengesan treler dilancarkan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supritendan Sulaiman Salleh ketika dihubungi berkata, polis peronda berjaya mengesan treler itu di Jalan Sungai Besi lalu mengekorinya.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis terus memecut kenderaan, menyebabkan polis peronda mengejar mereka sejauh satu kilometer sehingga ke Jalan Gajus, di belakang Jalan Dewan Bahasa Pustaka.

“Treler dipandu dengan laju itu kemudiannya melanggar tiga buah kenderaan dan sebuah papan tanda sebelum terbabas dan terbalik di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut beliau, dua suspek lelaki itu telah ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 397 dan 395, Kanun Keseksaan.

0 comments: