Spiga

Kecanggihan masa kini dorong budak ketagih seks

KUALA LUMPUR: “Jangan hairan jika pada masa depan akan ada pengedar video ‘games’ berunsur lucah di kalangan pelajar sekolah rendah andainya penguatkuasaan terlalu lemah,” kata Pensyarah Kanan Psikologi, Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor.

Dr Mariani meluahkan kebimbangan itu berikutan lambakan permainan video lucah memaparkan aksi ranjang yang mudah dibeli di pasaran tempatan ketika ini termasuk pembeli di kalangan murid sekolah rendah.

Dengan harga semurah RM5 katanya, tidak mustahil murid yang rosak akhlak itu cuba pula meracuni pemikiran rakan menceritakan keseronokan bermain video syaitan berkenaan.

“Seterusnya mereka akan menjadi pengedar permainan video lucah kecil-kecilan di sekolah. Ini satu perkembangan yang membahayakan kepada generasi masa depan.

“Kandungan video berkenaan tidak sesuai ditonton atau dijadikan mainan di kalangan kanak-kanak. Lebih teruk mereka mempelajari dan melihat perlakuan seks dan permainan itu memberi peluang kepada mereka meneroka titik rangsangan jantina berlawanan.

“Jika murid terbabit mula bermain pada pertengahan umur kanak-kanak (antara 4 hingga 8 tahun) iaitu peringkat ingin tahu dan banyak soalan, kebarangkalian mereka akan mempraktikkan hubungan seks pada tahap akhir usia kanak-kanak (antara 8 hingga 11 tahun) amat tinggi,” katanya.

Dr Mariani mengulas laporan utama Harian Metro kelmarin mengenai kegilaan terbaru murid sekolah rendah yang asyik bermain sejenis permainan video memaparkan aksi pasangan melakukan hubungan seks.

Menurutnya, kesan buruk psikologi kepada kanak-kanak itu dalam jangka masa panjang ialah nalurinya akan sentiasa ketagih untuk menonton aksi lucah seterusnya melakukan zina.

Katanya, dia bersama pelajarnya pernah membuat penyelidikan ilmiah bertajuk ‘Seks bebas di kalangan remaja dan kanak-kanak’, empat tahun lalu.

“Seorang responden remaja lelaki berusia 13 tahun. Saya mengucap panjang apabila responden berkenaan membuat pengakuan ketagih seks sejak berusia 11 tahun.

“Dia mengaku mempraktikkan apa yang dilihat melalui VCD lucah milik ibu bapa ketika mereka tiada di rumah.

“Seorang lagi responden iaitu kanak-kanak perempuan darjah enam mengaku memasukkan kayu dan getah paip di dalam kemaluan akibat ketagihan seks,” katanya.

Kanak-kanak terbabit katanya, turut mengaku pernah melakukan seks secara beramai-ramai dengan enam rakan lelaki sebayanya.

Menurutnya, hasil kajian itu mendapati punca utama psikologi seks kanak-kanak terganggu ialah ketandusan kasih sayang ibu bapa yang menyebabkan mereka mencari alternatif dengan kawan sekali gus antara faktor mereka terjerumus ke lembah zina apabila salah memilih rakan.

Mengulas isu sama, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berharap ibu bapa segera mengambil langkah proaktif jika melihat perubahan perlakuan emosi anak.

0 comments: